Sekapur Sireh

 

 

Sirih berlipat sirih pinang,

Sirih dari Pulau Mutiara,

Pemanis Kata Selamat Datang,

Awal bismillah pembuka bicara.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam Sehati Sejiwa.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-Nya, kita warga pendidik negeri Selangor dapat berjumpa di ruangan ini sebagai media perhubungan dalam talian yang merupakan sumber rujukan maklumat terkini. Selawat dan salam jua ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., para sahabat serta para tabiin.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan matlamat utama pendidikan negara iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan fizikal berasaskan pegangan teguh dan kepercayaan kepada Tuhan. Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Selangor sentiasa berusaha dalam melahirkan para pelajar yang holistik dan seimbang dari segi rohani dan jasmani, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju menjelang tahun 2020.

Bagi merealisasikan hasrat murni ini, transformasi pedagogi dan minda sedia ada perlu dilakukan. Penyediaan maklumat dan informasi yang tepat mengenai sistem pendidikan kini perlu disediakan. Menyedari hakikat ini, saya amat  berharap warga pendidikan di seluruh negeri Selangor ini  akan dapat memperoleh maklumat terkini mengenai pendidikan melalui laman web yang dibangunkan ini.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) adalah sebuah perjalanan 13 tahun dari tahun 2013 hinggalah tahun 2025 dalam usaha untuk membangunkan sistem yang memberi akses universal kepada pendidikan yang berkualiti. Gagasan 13 tahun ini memerlukan momentum yang besar dan kita di jabatan ini sentiasa berada di hadapan bagi mencapai hasrat itu. Sesuai dengan slogan kami “JABATAN PENDIDIKAN SELANGOR TERBILANG”.

Adalah menjadi harapan kami agar laman ini menjadi salah satu sumber rujukan dan wadah utama dalam penyebaran maklumat serta informasi pendidikan kepada semua warga pendidik. Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membolehkan Jabatan Pendidikan Selangor menyalurkan maklumat dengan pantas untuk pengetahuan semua pihak.

Akhir kata, semoga laman ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama, terutama dalam mengangkat martabat  pendidikan dalam membina modal insan yang seimbang kearah pembangunan Malaysia maju 2020. 

“JABATAN PENDIDIKAN SELANGOR TERBILANG”

HAJI MOHD SALLEH BIN MOHD KASSIM, S.I.S

Pengarah Pendidikan,

Jabatan Pendidikan Selangor.