selangor flag  Portal Rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

Sektor Psikologi dan Kaunseling

PENGENALAN

Suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Ia dijalankan oleh kaunselor profesional bagi membantu perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh dalam menyelesaikan masalah berkaitan tugas-tugas perkembangan dan keadaan hidup. Pertemuan adalah secara sukarela dan berterusan sepanjang hayat berlandaskan Etika Kaunseling.

Kaunseling bukan bererti nasihat, walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien, kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien . Keistimewaan khidmat kaunseling ialah ia membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang dihadapi. Penerimaan dan perakuan sumber diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.

AKTA KAUNSELOR 1998 [AKTA 580]

Terdapat suatu akta yang dilihat mengawal selia perkembangan dan penguatkuasaan peraturan-peraturan berkaitan dengan profesion kaunselor iaitu Akta Kaunselor 1998 [Akta 580] mendefinisikan kaunseling sebagai ;

“..Suatu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan, kemajuan, penyesuaian yang holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien..”

Akta Kaunselor 1998 [Akta 580] sudah diterima pakai dari segi amalan dan perundangan profesion di Malaysia sejak ianya diwartakan pada 19 Mac 1998.  Seksyen 22 Akta Kaunselor jelas menerangkan tentang keperluan pendaftaran dan pelanggaran subseksyen (1) seksyen ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

ETIKA KERAHSIAAN

Perkhidmatan psikologi amat mementingkan aspek kerahsiaan. Ini bermakna segala rekod dan urusan surat-menyurat yang berkaitan dengan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling adalah rahsia dan SULIT mengikut Peraturan-Peraturan Kaunselor (Kelakuan Dan Tatatertib) 1999 dan Akta Kaunselor 1998.

Pengecualian pendedahan maklumat, rekod atau dokumen  perkhidmatan bimbingan dan kaunseling

Maklumat, rekod atau dokumen yang berkaitan dengan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling adalah rahsia kecuali untuk kebaikan klien,  kebaikan  orang lain,  kebaikan organisasi,  atau keperluan undang-undang.

UJIAN PSIKOLOGI

Ujian Psikologi merupakan satu bentuk pengukuran yang menggambarkan penggunaan pensampelan tingkah laku bagi membuat keputusan berhubung individu tertentu. Ia juga merupakan suatu instrumen yang bertujuan mengukur pelbagai karekter yang berkait dengan tingkahlaku manusia terutama tingkahlaku interpersonal. Ujian psikologi beroperasi atas prinsip bahawa individu dengan karekter tertentu akan menjawab soalan tertentu secara berbeza daripada individu yang kurang mempamerkan karekter berkenaan.  Secara umumnya ujian psikologi boleh didefinisikan sebagai penggunaan satu atau lebih daripada alat pengukuran atau instrumen yang standard, prosedur yang direkodkan atau memerhatikan tingkahlaku manusia dan penggunaan data normatif yang bersesuaian bagi tujuan membuat interpretasi atau klasifikasi.

 

Jenis-jenis Ujian Psikologi:
1.         Indikator Perwatakan Unggul (IPU)
2.         Indeks Bimbingan Kerjaya (IBK)
3.         Inventori Stres Organisasi (ISO)
4.         Inventori Pengurusan Konflik (IPK)

5.         Intrumen Saringan Simptom Kesihatan Mental

6.         Inventori Keperluan Diri (NASY)

7.         DASS 21

8.         DASS 42

9.         Inventori Kemurungan

10.       Soal Selidik Kesihatan Umum

11.       Soal Selidik Kecerdasan Pelbagai

12.       Intrumen Psikometrik Profil Personaliti

13.       Profil Personaliti TAJMA

14.       Inventori Personaliti Junior Eysenck (JEPI)

15.       Inventori Introspeksi Diri (DISC)

16.       Inventori Psikometrik Intervensi Psikososial

Cetak Emel