selangor flag  Portal Rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

TINGKATAN ENAM

LATAR BELAKANG

Tingkatan Enam telah mula beroperasi di sekolah-sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan lebih daripada 50 tahun dahulu.

Murid-murid yang telah menamatkan pengajian menengah atas dan telah menduduki peperiksaan Siji Pelajaran Malaysia (SPM), layak ditawarkan untuk meneruskan pendidikan pasca menengah iaitu Tingkatan Enam, jika menepati syarat-syarat umum dan khusus bagi jurusan, selama 3 penggal. Terdapat dua aliran yang ditawarkan untuk Tingkatan Enam di sekolah menengah harian iaitu aliran Sains Sosial (Kemanusiaan dan Agama) dan aliran Sains.

SYARAT KEMASUKAN

Syarat umum bagi kemasukan ke Tingkatan Enam ialah lulus SPM dengan mendapat kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia.  Bagi melayakkan murid ke aliran Sains Sosial, jumlah mata unit bagi tiga mata pelajaran yang terbaik mestilah tidak melebihi 12, aliran Sains tidak melebihi 18 mata unit, manakala bagi aliran Agama tidak melebihi 14.

Semua tawaran kemasukan dibuat secara atas talian dan  calon-calon yang tidak mendapat tawaran boleh membuat rayuan di Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

PENJENAMAAN SEMULA TINGKATAN ENAM

Penjenamaan Semula Tingkatan Enam menjadi salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025 dengan hasrat untuk:

1.memperkasa pendidikan Tingkatan Enam melalui peningkatan imej, sistem, dan kualiti pendidikan setaraf dengan pendidikan lepasan menengah yang lain selepas SPM seperti Matrikulasi atau pusat asasi sains, kerana ianya dilihat sebagai salah satu laluan utama murid-murid untuk melanjutkan pelajaran ke universiti;

2.mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan Tingkatan Enam ;

3.membangun dan memupuk nilai kepimpinan yang tinggi dalam kalangan murid Tingkatan Enam .

Lima fokus utama Penjenamaan Semula Tingkatan Enam adalah seperti yang berikut:

1.Imej dan Anjakan Minda.

2.Info dan Infrastruktur.

3.Pengurusan dan Pentadbiran.

4.Mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

5.Kurikulum.

PUSAT TINGKATAN ENAM TERBAHAGI KEPADA TIGA MOD

Kolej Tingkatan Enam (Mod 1) - sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas yang menempatkan hanya murid-murid Tingkatan Enam sahaja dan diajar oleh guru-guru akademik yang telah dilantik sebagai guru Tingkatan Enam.

Mod 2 - sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas, beroperasi di sekolah arus perdana tetapi di blok atau bangunan yang berasingan. Walau bagaimanapun, Pusat Mod 2 ditadbir oleh Pengetua arus perdana dengan kerjasama Penolong Kanan Tingkatan Enam.

Mod 3 - sekolah yang mempunyai kurang daripada 12 kelas atau sekolah yang jauh daripada bandar, tiada kemudahan asrama atau pengangkutan awam, dan beroperasi  di sekolah arus perdana.

MAKLUMAT KOLEJ/PUSAT TINGKATAN ENAM NEGERI SELANGOR

Senarai Kolej/Pusat Tingkatan Enam di Selangor 2018

Maklumat lanjut boleh diakses di https://www.moe.gov.my/index.php/my/tingkatan-enam

Cetak Emel