selangor flag  Portal Rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

HomeSchooling

HOME SCHOOLING
Home Schooling adalah merupakan satu kaedah menjalankan persekolahan di rumah yang diberikan kepada ibu bapa yang memerlukannya seperti mempunyai masalah kesihatan kronik dan memerlukan jagaan rapi oleh pihak penjaga. Namun demikian ianya hanyalah satu keistimewaan dan bukannya hak.

PUNCA KUASA
a.  Akta Pendidikan (Pindaan) 2002 : Subseksyen 29A (2) Akta Pendidikan  (Pindaan) 2002 memperuntukkan Menteri boleh, “Jika difikirkan wajar dan demi kepentingan murid atau awam untuk berbuat demikian”, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan mana-mana murid atau mana-mana golongan murid yang dikehendaki supaya mengikuti pendidikan wajib, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya dan patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau membatalkan atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu.
b.  Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2002 : Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003 bertarikh 27 November 2002.
c.   Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2005 : Garis Panduan Memproses Permohonan Pengecualian Daripada Mengikuti Pendidikan Wajib Di   Peringkat Rendah.
d.  Garis Panduan Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah Tahun 2003. 

KRITERIA
Secara amnya kriteria dan syarat bagi permohonan Home Schooling adalah seperti berikut:
a. Pemohon hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.
b. Pemohon hendaklah mengemukakan bukti-bukti bahawa anaknya akan mengikuti pendidikan rendah yang sempurna.
c. Hendaklah dijalankan di rumah kanak-kanak tersebut, sebarang kelas lain yang dihadiri oleh murid di luar, contohnya menghadiri kelas muzik atau tuisyen di tempat lain tidak termasuk dalam pengiraan waktu pembelajaran Home Schooling.
d. Home Schooling boleh dilaksanakan atau diajar oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada ibu, bapa atau tutor.
e. Tidak boleh dijalankan secara berkumpulan kecuali bagi adik beradik kanak-kanak tersebut.
f. Adalah diwajibkan untuk menggunakan kurikulum kebangsaan dan sesuai bagi peringkat umur kanak-kanak di peringkat rendah. Kurikulum tambahan juga hendaklah dimaklumkan kepada Ketua Pendaftar.
g. Berkemampuan untuk menyediakan prasarana pendidikan yang kondusif dan sempurnauntuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
h. Lawatan kerumah pemohon akan dibua tuntuk tujuan lawatan tapak kesesuaian prasarana pendidikan oleh pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia , Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.
i. Pemohon membenarkan Pegawai daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah untuk melawat rumah pada bila-bila masa hari persekolahan untuk tujuan pemantauan proses Pengajaran & Pembelajaran tanpa prasangka.
j. Sekiranya didapati pemohon melanggar syarat-syarat yang terkandung dalam kelulusan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia maka pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berhak untuk membatalkan kelulusan tersebut dengan sertamerta dan kanak-kanak tersebut hendaklah didaftarkan semula kesekolah biasa dengan segera.

Ibu bapa boleh memohon menggunakan BORANG PPW1

Cetak Emel