selangor flag  Portal Rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

Sejarah/ Latar Belakang

SEJARAH/LATAR BELAKANG PPD

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama merupakan sebuah PPD baru yang telah ditubuhkan dengan kelulusan daripada Agensi Pusat melalui surat Kementerian Kewangan B(6.00)202/1/2-24 JD.24 (4) bertarikh 07 Februari 2007 dan berkuatkuasa mulai 01 Februari 2007.

Dikateogerikan sebagai Gred C, PPD Petaling Utama beroperasi secara sementara di bangunan Unit Kokurikulum, PPD Petaling Perdana, mulai 01 April 2007 sehingga 31 Oktober 2007.  Seramai 14 orang pegawai dengan bantuan 15 orang kakitangan sokongan telah memulakan tugas pada 01 Julai 2007 dan diterajui oleh Pegawai Pelajaran Daerah yang pertama, Allahyarham Encik Alias bin Salleh.

Kawasan pentadbiran PPD Petaling Utama meliputi kawasan pusat Lembah Klang di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang merangkumi kawasan Petaling Jaya, Damansara, Bandar Sri Damansara, Kota Damansara dan Bandar Utama.  Di peringkat awal penubuhan, terdapat 82 buah sekolah di bawah pentadbiran PPD Petaling Utama, iaitu 26 buah sekolah menengah dan 56 buah sekolah rendah, termasuk 9 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan 4 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.  Selain daripada itu, terdapat  4,776 orang tenaga pengajar, 526 orang staf sokongan dan 87,515 orang murid, dengan bilangan kelas berjumlah 2,501 buah.  Pemecahan pentadbiran PPD Petaling Utama dari PPD Petaling Perdana yang pada asalnya dikenali sebagai PPD Petaling, telah dilaksanakan dengan rasminya pada 01 Ogos 2008, oleh mantan Pengarah Pelajaran Selangor, Datin Hajah Hamidah binti Nordin.

Pada 30 dan 31 Oktober 2007, setelah permohonan ruang pejabat baru diluluskan oleh Bahagian Hartanah, Jabatan Perdana Menteri, PPD Petaling Utama telah berpindah dari premis PPD Petaling Perdana ke Wisma Glomac 3, Kompleks Kelana Centre Point, Kelana Jaya dan beroperasi secara rasminya di pejabat baru pada 01 November 2007. Pengubahsuaian ruang pejabat dengan keluasan 5,744 kaki persegi itu adalah sangat minimum kerana ruang pejabat baru telahpun mempunyai kemudahan ruang kerja yang diperlukan.

Walau bagaimanapun, apabila berlakunya pertambahan pegawai dan kakitangan serta jumlah dokumen yang diuruskan, ruang tersebut dirasakan terlalu sempit dan tidak dapat menampung keseluruhan perkhidmatan yang diuruskan oleh PPD Petaling Utama.  Oleh sebab itulah, PPD Petaling Utama sering menerima aduan yang berterusan sepanjang tahun daripada pelanggan terutamanya pada hujung dan awal tahun apabila ibu bapa dan penjaga murid-murid berurusan di kaunter pejabat yang hanya boleh menampung sejumlah 10 orang pada satu-satu masa.

Pejabat PPD Petaling Utama telah memohon ruang pejabat yang baru mulai bulan Februari 2009 dan mendapat kelulusan  penyewaan ruang pejabat dari Bahagian Hartanah, Jabatan Perdana Menteri setelah diluluskan kadar sewaan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, yang berjumlah hampir   RM1 juta setahun bagi ruang pejabat seluas 21,530 kaki persegi.  Dengan kelulusan sewaan ruang pejabat tersebut, PPD Petaling Utama telah mengusahakan permohonan peruntukan pengubahsuaian ruang pejabat yang akhirnya diluluskan oleh Bahagian Kewangan, Kementerian Pelajaran Malaysia yang mencecah hampir RM2 juta.  Kerja-kerja pengubahsuaian pejabat baru telah dimulakan pada 18 September 2009 dan disempurnakan pada 22 Oktober 2009, setelah 35 hari kerja-kerja pengubahsuaian dilaksanakan mengikut perjanjian.  Majlis Penyarahan Ruang Pejabat oleh pihak Kontraktor kepada pihak PPD telah disempurnakan pada 28 Oktober 2009 di Bilik Mesyuarat Pengurusan, ruang pejabat yang baru.

Lokasi terkini pejabat baru PPD Petaling Utama adalah di Tingkat  Bawah dan Tingkat Satu Blok Podium, serta Tingkat Bawah dan Tingkat Satu Blok D, Kompleks Kelana Centre Point, Kelana Jaya. Ruang pejabat baru PPD Petaling Utama telah disediakan dengans segala kemudahan untuk keselesaan kakitangan serta pelanggan PPD.

PPD Petaling Utama telah berpindah ke ruang pejabat baru pada 28 hingga 31 Oktober 2009 dan beroperasi sepenuhnya pada 01 November 2009 di bawah pimpinan Pegawai Pelajaran Daerah Petaling Utama, Puan Hajah Nafsiah binti Jaafar.

Majlis perasmian telah diadakan pada 23 Disember 2009 dan dirasmikan oleh Dr. Haji Zahri bin Aziz, Pengarah Pelajaran,  Jabatan Pelajaran Negeri Selangor pada ketika itu.

Cetak Emel